1. Konsep Penghibridan 4-aminokuinolina sebagai Alternatif Agen Antiplasmodium
- Author
-
Nurfarahanim Muhammad Zubir, Mohd Ridzuan Mohd Abd Razak, Amatul Hamizah Ali, Mukram Mohamed Mackeen, and Nurul Izzaty Hassan
- Subjects
Multidisciplinary - Abstract
Kemunculan strain parasit yang rintang terhadap hampir semua ubatan antimalaria telah mendorong para saintis mengkaji penggantian mekanisme tindakan alternatif yang lebih berkesan. Keberkesanan rawatan semasa antimalaria adalah terhad dari segi bio ketersediaan ubat yang rendah, ketoksikan ubat yang tinggi dan kadar keterlarutan dalam air yang rendah. Penghibridan adalah satu strategi menarik bagi mengembangkan konsep penemuan ubat antimalaria. Kerangka 4-aminokuinolina telah disasarkan dalam kebanyakan proses reka bentuk agen antiplasmodium kerana kos sintesisnya yang murah, selamat dan kurang toksik sejak 20 tahun yang lalu. Penemuan hibrid antiplasmodium menggunakan kerangka 4-aminokuinolina dan pelbagai moieti seperti artemisinin, piperidin, indolin, pirimidin telah menunjukkan aktiviti antiplasmodium yang baik. Walau bagaimanapun, sehingga kini penemuan hibrid ini masih tidak dapat dibangunkan dan memasuki ujian percubaan klinikal. Ulasan ini meringkaskan penemuan hibrid antiplasmodium yang telah diterbitkan dalam tempoh sebelas tahun ke belakang (2011-2021). Kelebihan dan kelemahan konsep penghibridan sebagai pengganti agen antiplasmodium sedia ada dibincangkan. Analisis kajian menunjukkan hibrid 4-aminokuinolina mempunyai aktiviti antiplasmodium yang setanding atau lebih baik secara in vitro berbanding rawatan profilaksis klorokuina. Hibrid kuinolina kelas IV adalah yang paling kerap dikaji dan diperoleh dalam kajian ini sepanjang tempoh sebelas tahun ke belakang. Kekurangan data praklinikal terperinci mengenai hibrid yang disintesis telah menghalang kajian lanjut dalam ujian klinikal.
- Published
- 2022